Pengalaman Getir Berpuasa Selama Hampir 18jam di Rantauan Pada Musim Panas Sambil Bekerja
Tahun ini merupakan kali pertama kami menyambut kedatangan Ramadhan sepenuhnya di rantauan. Tidak dapat dinafikan bahawa ramadhan kali ini agak mencabar kerana jatuh pada musim panas di mana kami akan perlu berpuasa selama hampir 18jam bermula pada pukul 3.30am hinggalah 8.40pm. Ini merupakan satu pengalaman baru yang amat berharga kerana tidak pernah menahan lapar dan dahaga selama ini sebelum ini di tanah air.
Namun tidak cukup dengan itu, apa yg membuatkan ramadhan ini lebih mencabar adalah kerana saya dan beberapa orang rakan, haikal,izzuddin,faiz,azrul,asyraf,yusry,shy,zuraini,aisyah,fatin,nafisah,sheida,wahidah,syahirah,fiza,muna,yasmin dan ainur telah mengambil peluang untuk bekerja secara sambilan sebagai pencuci di universiti tempat kami belajar sepanjang musim panas ini dan ditambah pula dengan kejadian rusuhan yang melanda England baru baru ini amatlah membuatkan diri ini teruji.
Sememangnya diakui tidak seperti kebanyakan negara di timur tengah di mana saiz komuniti Islam di sana adalah besar, di Canterbury ini saiz komuniti Islam teramatlah kecil oleh itu suasana ramadhan tidaklah kelihatan begitu meriah disini. Menyedari hakikat ini, kami telah sepakat untuk mengambil peluang memasak secara bergilir gilir dan berbuka puasa secara beramai ramai. Kami juga bertarawih dan bermoreh bersama sama untuk memeriahkan suasana ramadhan disini.
Selain daripada rindukan keluarga dan sanak saudara, tidak dapat dinafikan, kepelbagaian juadah di bazaar ramadhan amatlah dirindui. Pelbagai kuih muih seperti kuih badak,kuih keria,kuih seri muka dan juadah hebat seperti ayam percik,ayam golek dan ikan keli masak lemak cili api kerap menerjah ruang fikiran sehinggakan pada suatu ketika saya menelefon ibu dan ibu saudara bertanyakan resepi dan kami disini bersama-sama cuba sedaya yang termampu untuk menyediakan juadah yang seakan akan sama.
Apa apapun, pengalaman menempuhi bulan ramadhan dan berhari raya di Canterbury kelak ini akan kekal menjadi pengalaman yang paling berharga dan sememangnya akan diingati sepanjang hayat biarpun terpaksa berjauhan daripada keluarga dan sanak saudara.
Di kesempatan ini kami,penuntut tahun pertama dan kedua di Canterbury Christ Church University, Kent , United Kingdom dan rakan-rakan yang lain ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada pihak penaja iaitu KPM dan semua yang mengenali diri ini..dikesempatan ini juga kami ingin memohon kemaafan yang tidak terhingga daripada keluarga dan sanak saudara kerana kami tidak dapat pulang beraya tahun ini. Makan ketupat jangan dilupa kami semua dirantauan ini..
p/s : Full credit goes to Mohamad Noh~